Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Puteh: Dia baru berusia 6 tahun, namun kepetahan Muhammad Zulfadhli Zainuddin yang mampu berdikir barat secara spontan tanpa lirik dianggap 'luar biasa' dan menarik perhatian ramai yang kagum dengan bakatnya itu.

Gelagat Muhamad Zulfadhli yang melontar bait dikir itu menerusi satu rakaman video tular di media sosial dan sekaligus menyerlahkan bakat istimewa kanak-kanak itu seolah-olah dia seorang tukang karut berpengalaman.

Menurut bapanya, Zainuddin Mat Nor, 50, dia tidak sangka rakaman video anaknya yang menjawab dialog lagu yang dihasilkannya itu tular di media sosial Facebook (FB) sehingga pelbagai reaksi daripada warganet.

"Video berdurasi lebih seminit itu dirakam secara spontan oleh rakan anak saya baru-baru ini hanya untuk simpanan peribadi sebelum ia dimuat naik di FB untuk berkongsi kepetahan Muhammad Zulfadhli.

"Tidak lama selepas video dimuat naik, ramai yang menghubungi saya untuk mendapat pengesahan kanak-kanak lelaki yang berbakat sebagai tukang karut dalam nyanyian dikir barat itu adalah anak bongsu saya.

"Alhamdulillah, ramai yang memberi maklum balas dan komen positif selain kagum dengan kebolehan dia," katanya.

Zainuddin berkata, bakat anak bongsu daripada lapan beradik itu dikesan pada usia empat tahun dan beliau juga terkejut dengan bakat luar biasa anaknya itu.

"Saya menguji Muhammad Zulfadhli dengan memberi rangkap awal pantun sebagai tukang karut. Sebaik sahaja rangkap awal dilontarkan kepadanya, dengan spontan dia akan menjawab dan bermula dari situlah saya melihat dia memiliki kebolehan atau bakat luar biasa dalam seni dikir barat.

"Selain itu, anak saya juga mempunyai daya ingatan yang tinggi apabila dia mampu menguasai sesuatu perkara dalam tempoh singkat selain dapat membaca dan menulis dengan baik dan lancar serta seorang kanak-kanak yang petah bercakap.

"Muhammad Zulfadhli seorang kanak-kanak yang cepat 'tangkap' perkara baru yang diajar. Sebagai contoh, lirik lagu dikir barat yang baharu diajar mampu diingat satu persatu," katanya.

Katanya, Muhammad Zulfadhli tiada beza seperti kanak-kanak normal lain yang perlukan masa untuk bermain.

Muhamad Zulfadhli Zainuddin diusia lima tahun mampu membaca dan mengeja serta petah bercakap selain suka menyanyi dan cepat mengingati melodi lirik lagu yang didengari ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Sawa, Banggol Pak Esah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamad Zulfadhli Zainuddin diusia lima tahun mampu membaca dan mengeja serta petah bercakap selain suka menyanyi dan cepat mengingati melodi lirik lagu yang didengari ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Sawa, Banggol Pak Esah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Walaupun Muhammad Zulfadhli dikurniakan keistimewaan, namun saya tidak akan menghalang cita-citanya apabila dewasa kelak samada mahu terbabit dalam dunia seni atau sebaliknya.

"Saya berharap dia menggunakan kepintaran yang dianugerahkan itu untuk menjamin masa depan yang lebih cerah serta menjadi insan yang berguna kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 9:49 PM