AIR pasang melimpah ke tebing pantai sepanjang Taman Teluk Likas, Ranjung Lipat. FOTO tangkap layar video Mohd Adam Arinin
AIR pasang melimpah ke tebing pantai sepanjang Taman Teluk Likas, Ranjung Lipat. FOTO tangkap layar video Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Fenomena laut air pasang besar sehingga melimpah ke atas jalan di Tanjung Lipat, di sini, membimbangkan warga bandar raya ini selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Menerusi rakaman video yang tular itu, air pasang mula melimpah seawal 7.30 malam tadi dan kelihatan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turun padang mengawal lalu lintas di kawasan berhampiran pantai di situ.

Tinjauan di lokasi pula mendapati, fenomena luar biasa itu menarik perhatian ramai sehingga ada pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui jalan itu berhenti untuk menyaksikannya serta merakamkan fenomena berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran pasukan polis berjaya mengawal keadaan termasuk mengarahkan orang ramai yang berhenti supaya meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Amir Zudi Hashim berkata, kejadian air pasang, angin kencang dan laut bergelora di perairan Sabah menyebabkan berlakunya limpahan air di pesisir pantai.

"Kita tidak boleh menjangkakan tempoh fenomena ini berlarutan, namun keadaan biasanya menjadi normal beberapa jam selepas itu dan bagi air pasang di sini, mungkin akan surut selepas 10 malam ini.

"Kadar kenaikan paras air juga bergantung kepada keadaan semasa, jika air pasang makin tinggi maka limpahan berlaku juga semakin banyak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Amir Zudi turut menasihati orang awam khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran supaya tidak menghampiri kawasan pantai bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

Katanya, pihaknya juga akan terus memantau keadaan cuaca dan membuat makluman dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 10:47 PM