STATUS dimuat naik pemilik akaun Facebook, Respati dengan kenyataan jelik, berbaur penghinaan serta ugutan terhadap PDRM dan Jabatan Imigresen. FOTO Facebook
STATUS dimuat naik pemilik akaun Facebook, Respati dengan kenyataan jelik, berbaur penghinaan serta ugutan terhadap PDRM dan Jabatan Imigresen. FOTO Facebook
BERNAMA

Lahad Datu: Polis giat mengesan pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Respati' yang dipercayai memuat naik kenyataan jelik, berbaur penghinaan serta ugutan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan keberadaan pemilik akaun itu.

"Kertas siasatan juga akan dibuka, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ringkas ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengguna media sosial agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah individu mahupun sesebuah organisasi.

Respati dalam kenyataan di Facebook semalam mencabar pihak Imigresen atau polis agar bertemu dengannya yang berada di Batu 13 Jeroco, dekat sini, selain mengajak pemandu lori, treler melanggar anggota polis yang membuat sekatan jalan raya.

Pemilik akaun itu turut mengajak orang ramai membawa senjata tajam untuk berdepan dengan polis.

Kenyataan itu, yang tular hari ini, menerima lebih 313 perkongsian meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 11:20 PM