FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Penganjuran majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi tidak dibenarkan di Kelantan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, arahan yang dikeluarkan itu berkuat kuasa semalam sehingga 26 Januari atau sehingga PKPB ditamatkan.

Beliau berkata, ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi semasa wabak Covid-19.

Katanya, pada masa sama, semua kursus praperkahwinan juga ditangguhkan selain perkhidmatan khidmat nasihat atau runding cara hanya dijalankan melalui dalam talian.

"Bagi majlis akad nikah pula dibenarkan diadakan di rumah, masjid atau surau mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya boleh dihadiri 20 individu termasuk pengantin, saksi, wali serta juru nikah.

"Sebarang arahan atau keperluan adalah tertakluk kepada ketetapan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 9:17 AM