DURANI (kiri) bersama Md Nayan melihat kubur yang dirosakkan babi hutan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
DURANI (kiri) bersama Md Nayan melihat kubur yang dirosakkan babi hutan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Penduduk di 14 kampung di Mukim Kuala Kurau, di sini, bimbang dengan keadaan tanah perkuburan di Kampung Haji Taib yang sering diceroboh sekumpulan babi hutan.

Pengerusi Masjid Jamek Kuala Kurau, Durani Abdul Rahman berkata, haiwan itu merosakkan pagar sebelum menceroboh kawasan perkuburan.

Menurutnya, perkara itu sudah berlarutan lebih empat tahun biarpun pelbagai usaha dibuat penduduk dan ahli jawatan kuasa masjid.

"Perkara yang kami bimbangkan apabila kumpulan babi ini mula mengorek kubur yang masih baru. Bukan dua tiga ekor yang masuk, sebaliknya berbelas ekor.

"Tanah yang digalinya pula agak dalam sehingga hampir dua kaki. Justeru kami bimbang perkara buruk berlaku dan perkara ini jika dibiarkan boleh menimbulkan persepsi yang kurang baik dalam kalangan masyarakat sekeliling," katanya ditemui selepas meninjau kawasan Perkuburan Parit Haji Taib, Kuala Kurau, di sini.

Hadir sama, Ahli Majlis Daerah Kerian, Md Nayan Salleh merangkap Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Buntar.

Durani berkata, sehingga kini belum ada lagi kes jenazah terkeluar dari kubur namun pihaknya sentiasa memantau kawasan perkuburan itu setiap hari.

"Diharapkan pihak berkaitan dapat segera membina pagar yang kukuh kerana pagar ini sudah lama dibina dan banyak mengalami kerosakan," katanya.

Sementara itu, Md Nayan berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkaitan termasuk exco kerajaan negeri.

"Saya dapati banyak kubur dikorek malah ada batu nisan yang tumbang akibat serangan babi hutan ini," katanya.

Menurutnya, selain ancaman babi hutan, kawasan tanah perkuburan itu landai menyebabkan banyak kubur ditakungi air.

"Justeru pihak kerajaan negeri perlu bertindak segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 11:50 AM