VAKSIN. FOTO AFP
VAKSIN. FOTO AFP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Semua perolehan vaksin untuk kegunaan rakyat negara ini tertakluk kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tidak akan mengambil vaksin itu sekiranya kerajaan tidak berpuas hati dengan keselamatan serta keberkesanan vaksin berkenaan.

Katanya, ia termasuklah vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech.

"Data klinikal Sinovac baru sahaja dikeluarkan. Kami akan mengkaji data berkenaan sebelum memutuskan (untuk mengambil atau sebaliknya).

"Inilah sebabnya mengapa strategi kami menjadi portfolio dalam vaksin," katanya dalam ciapan di Twitter tadi.

Selain itu, Khairy berkata, bagi memastikan negara ini mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi serta mengurangkan masalah kawal selia dan pembuatan, kerajaan akan memperoleh vaksin Covid-19 itu lebih daripada satu sumber.

"Tambahan pula tidak ada lagi pengeluar yang dapat memenuhi semua keperluan dan ini sama dengan kebanyakan negara," katanya.

Sementara itu, dalam ciapannya yang berlainan, Khairy turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Indonesia kerana memperoleh vaksin Sinovac lebih awal.

"Selamat maju jaya kepada Indonesia. Indonesia dapat vaksin Sinovac awal sebab menjadi negara di mana vaksin berkenaan diuji dalam ujian klinikal sebelum didaftar.

"Brazil, Turki juga buat ujian klinikal Sinovac sebab jumlah kes mereka yang tinggi tahun lalu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan ujian klinikal Brazil mendapati vaksin Sinovac yang dikeluarkan oleh China berkesan 50.4 peratus.

Bulan lalu, menerusi vaksin yang sama Turki mengatakan ia berkesan sebanyak 91.25 peratus manakala di Indonesia 65.3 peratus keberkesanannya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:31 PM