Aizuddin Ameen disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu, kini menjalani kuarantin dan rawatan sendiri di rumahnya di Gua Musang. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor
Aizuddin Ameen disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu, kini menjalani kuarantin dan rawatan sendiri di rumahnya di Gua Musang. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kes harian pesakit dijangkiti Covid-19 yang mencanak dalam tempoh kebelakangan ini turut menyebabkan ada pesakit dinasihatkan doktor supaya menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menegaskan kes baharu berkemungkinan meruncing dengan jumlah kes baharu berisiko mencecah 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac ini jika nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Harian Metro menemubual secara dalam talian seorang pesakit Covid-19, Aizuddin Ameen Mohd Noor, 33, yang sedang menjalani kuarantin dan rawatan di rumah di Gua Musang, Kelantan selepas disahkan positif Covid-19, 11 Januari lalu.

Beliau adalah pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Mohd Syahbuddin Hashim yang turut disahkan positif pada tarikh sama.

"Saya menjalani ujian calitan tekak untuk Covid-19 di Klinik Kesihatan Gua Musang pada 9 Januari dan sejurus itu melakukan kuarantin di rumah.

"Keesokannya saya masih tiada simptom dan ketika itu saya sibuk kemas bilik untuk mengisi masa lapang.

"Pada 11 Januari, saya dihubungi Hospital Gua Musang yang mengesahkan saya positif Covid-19. Masa disahkan positif tak dapat nak bayangkan gelapnya dunia," katanya.

Menurutnya, semasa menerima berita itu, air matanya mengalir memikirkan macam-macam yang akan berlaku.

Dia juga menghubungi beberapa rakan untuk bertanyakan keputusan ujian calitan tekak sesama mereka sebelum memberikan kata semangat antara satu sama lain.

ANTARA kata semangat yang diletakkan di bawah pintu bilik oleh anak saudaranya. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor
ANTARA kata semangat yang diletakkan di bawah pintu bilik oleh anak saudaranya. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor

"Keluarga dan kawan pemberi semangat untuk terus gagahkan diri. Keesokannya dan sehingga hari ini semangat saya mulai pulih.

"Saya lakukan senaman di dalam bilik sebanyak dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Pada waktu malam antara Maghrib dan Isyak, saya membaca surah Yasin memohon doa kepada Allah Yang Maha Esa.

"Semalam pada jam 10.54 pagi, saya terima panggilan daripada Dr Ridzwan, doktor di Klinik Kesihatan Gua Musang bertanyakan khabar dan memaklumkan saya hanya akan kuarantin di rumah memandangkan saya tiada simptom. Alhamdulillah, doktor banyak memberi nasihat dan semangat," katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini dia tidak menerima sebarang bekalan ubat-ubatan dan tiada pihak kesihatan, polis atau pihak berkuasa lain yang melakukan pemeriksaan di rumah.

ANTARA kata semangat yang diletakkan di bawah pintu bilik oleh anak saudaranya. Anak saudaranya memangilnya Tatam. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor
ANTARA kata semangat yang diletakkan di bawah pintu bilik oleh anak saudaranya. Anak saudaranya memangilnya Tatam. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor

Apa yang dia amalkan, katanya, adalah mengambil vitamin C setiap hari dan mengamalkan pengambilan air lemon campuran kurma, halia dan bawang putih resepi ayah dan ibunya.

"Walaupun saya jalani kuarantin di dalam bilik di rumah, saya selalu cuci tangan dengan sabun atau pensanitasi tangan.

"Disiplin mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dibuat jika kuarantin di rumah.

"Kekal berada dalam bilik dan jangan keluar walaupun nak pergi dapur atau bersembang," katanya yang masih bujang dan tinggal bersama ibu bapa.

AIR campuran lemon, kurma, bawang putih dan halia. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor
AIR campuran lemon, kurma, bawang putih dan halia. FOTO Ihsan Aizuddin Ameen Mohd Noor

Tambahan pula, katanya, dia bertanggungjawab memastikan bapanya yang berusia 69 tahun dan ibunya berumur 68 tahun tidak dijangkiti virus pandemik itu.

"Bagi mengurangkan lagi risiko terhadap orang tua, makanan saya yang menggunakan bekas pakai buang dihantar di meja di luar bilik oleh abang atau anak saudara.

"Apa-apa urusan fizikal berkaitan saya, memang kami adik-beradik sepakat supaya tidak membenarkan atau mengelakkan pembabitan ibu bapa," katanya.

Menurutnya, komunikasi lebih banyak menggunakan telefon termasuk memberitahu makanan sudah dihantar selain sesama mereka tidak bersemuka.

Katanya, dia reda membiasakan rutin kehidupan sebegitu hinggalah doktor akan hubungi semula untuk menamatkan kuarantin itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:55 PM