PUSAT beli-belah tumpuan di Cheras, Kuala Lumpur lengang dan sunyi. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
PUSAT beli-belah tumpuan di Cheras, Kuala Lumpur lengang dan sunyi. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Pusat beli-belah tumpuan di ibu kota hari ini sunyi berikutan hanya perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak semalam.

Itu yang dapat digambarkan wartawan ketika tinjauan di tiga pusat beli-belah tumpuan di sekitar Cheras, di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati rata-rata pengunjung ke pusat beli-belah berkenaan lebih tertumpu untuk membeli barangan keperluan rumah di pasar raya.

Manakala lot makanan dan minuman tidak menjadi tumpuan disebabkan penjualan makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja yang dibenarkan.

Suasana lengang di lot makanan dan minuman itu juga dirasai di beberapa lot kedai seperti barangan serbaneka, jam tangan, aksesori dan perhiasan.

Wartawan mendapati PKP kali kedua ini menyaksikan pasar raya tampil dengan SOP tambahan dengan menyediakan sarung tangan plastik pakai buang kepada pengunjung bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

Rata-rata pengunjung di pasar raya juga memilih berbelanja seorang diri berbanding membawa keluarga seperti sebelumnya.

Walaupun begitu, wartawan mendapati ada juga keluarga yang membawa kanak-kanak bawah 12 tahun ke pasar raya dalam tempoh pelaksanaan PKP ini.

Pekerja pasar raya juga memantau had maksimum pengunjung dalam satu-satu masa iaitu tidak melebihi 100 orang.

Had maksimum pengunjung yang ditetapkan di pasar raya menyebabkan segelintir pengunjung terpaksa menunggu di luar dan beratur dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Seksyen makanan basah dan segar seperti ikan, daging, sayur, buah-buahan dan makanan sejuk beku antara menjadi tumpuan pengunjung di pasar raya.

Suri rumah, Hasmah Mahmud, 49, berkata, dia berbelanja sendiri tanpa ditemani ahli keluarga yang lain kerana mahu mengamalkan SOP PKP terdahulu yang mana hanya seorang saja yang dibenarkan.

"Suasana di pasar raya terkawal dengan adanya peraturan had maksimum pengunjung.

"Perlu memilih masa yang sesuai untuk ke pasar raya seperti awal pagi kerana pada waktu itu tidak ramai orang dan kita juga dapat menjaga jarak sosial dan kesihatan diri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 4:00 PM