FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang

Kuantan: Bekalan barang keperluan asas di Pahang mencukupi berdasarkan pemeriksaan Pegawai Pemantau Harga Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang.

Sehubungan itu, Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, tidak berlaku pembelian panik di negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam.

Beliau berkata, KPDNHEP Pahang melantik lebih 300 pemborong dan peruncit di negeri ini untuk memastikan bekalan barang keperluan sentiasa ada dan mencukupi.

"Dalam isu bekalan barang keperluan ini, KPDNHEP mengambil maklum isu itu sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini dan hasil pemantauan harian di premis perniagaan utama di negeri ini mendapati pembelian panik tidak berlaku.

"Bagaimanapun, berlaku pembelian dalam kuantiti besar oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi bekalan bantuan mangsa banjir di seluruh Pahang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan bekalan barang keperluan mencukupi, 142 anggota penguat kuasa daripada lima cawangan KPDNHEP di Pahang digerakkan bagi memantau premis perniagaan utama yang menjadi tumpuan pengguna.

Menurutnya, pemantauan itu bagi memastikan tiada manipulasi harga oleh peniaga tidak beretika ketika pengguna di negeri ini berdepan bencana banjir.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 5:46 PM