Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Tindakan sebuah pusat refleksologi yoga dan spa di Seksyen 16, di sini, menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah apabila diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki dan dua wanita warga asing berusia 39 hingga 55 tahun ditahan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa) dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBPJ) 2007," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) susur keluar Plaza Tol Kota Damansara jam 2.10 petang semalam kerana gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya.

"Dia disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) APPPB 1998.

"Seorang lagi lelaki warga asimng berusia 43 tahun pula ditahan di tapak penjaja tepi jalan SS2/60, di sini, kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Beliau berkata, pemilik tapak penjaja lelaki tempatan berusia 37 tahun serta dua wanita tempatan berusia 36 dan 65 tahun iaitu pekerja dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan iaitu dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 5:59 PM