DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pulau Perhentian dan Redang, Terengganu dan Pulau Tioman di Pahang adalah antara 137 kawasan baharu dikenal pasti bakal menikmati bantuan Program Pengedaran Barangan Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan 'Community Drumming' pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertambahan peruntukan kepada RM200 juta untuk program itu tahun ini berbanding RM150 juta pada 2020 membolehkan kementerian memperluas pelaksanaannya ke kawasan baharu yang memerlukan.

Beliau berkata, bantuan turut disalurkan ke beberapa kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pelantikan syarikat transporter (pengangkut) bagi tahun ini akan dilaksana menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan Kementerian Kewangan.

"SOP itu menggariskan tatacara perolehan yang mengambil prinsip tender terbuka yang mana iklan tawaran akan dikeluarkan bagi mempelawa syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berminat untuk memohon sebagai transporter. Proses lantikan dijangka selesai pada April 2021," katanya tadi.

Beliau berkata, bagi mengelak bekalan daripada terputus sementara menunggu pelantikan syarikat transporter baharu, kementeriannya bersetuju melanjutkan kontrak syarikat transporter sedia ada hingga 30 April ini, selain sudah mengeluarkan arahan kepada 151 syarikat terbabit untuk melaksanakan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari lalu.

"Program ini dilaksanakan apabila lerajaan mendapati penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi bagi mendapatkan barangan keperluan berbanding di bandar.

"Masalah ini turut disebabkan kos pengangkutan yang tinggi kerana lokasinya yang jauh dan terpencil melalui jalan sukar seperti laluan balak, sungai dan jeram.

Selain itu, faktor kemudahan infrastruktur perhubungan yang kurang baik serta bentuk muka bumi yang berbagai seperti bukit, gunung dan pulau turut menyumbang kepada kadar kos pengangkutan yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:05 PM