Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pengeluaran khas caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau i-Sinar adalah langkah tepat bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Pengurus Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor berkata, setiap individu perlu berwaspada dengan penipuan dan pelbagai taktik 'scammer'.

Beliau berkata, dalam keadaan mendesak, seseorang mungkin mudah terperangkap dengan penipuan membabitkan pengeluaran i-Sinar oleh individu tidak bertanggungjawab yang sentiasa menunggu peluang dan ruang untuk melakukan penipuan demi mengaut keuntungan.

"Contohnya, satu aplikasi palsu pengeluaran i-Sinar dilaporkan wujud yang kononnya memberi panduan kepada ahli untuk membuat pengeluaran dan boleh memeriksa status pengeluaran.

"Justeru, saya menasihatkan bagi mengelakkan mereka ditipu, individu terbabit sentiasa menyemak maklumat terkini melalui laman sesawang atau media sosial rasmi KWSP," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rizauddin berkata, langkah diambil kerajaan ketika pengumuman Bajet 2021 adalah salah satu usaha untuk meringankan bebanan kewangan ditanggung rakyat pada ketika ini.

Beliau berkata, i-Sinar adalah antara inisiatif di bawah Bajet 2021 yang membolehkan ahli KWSP yang belum mencapai usia 55 untuk mengeluarkan sebahagian daripada simpanan Akaun 1 mereka bagi tujuan kelangsungan hidup.

Menurutnya, sebelum ini ia hanya boleh dikeluarkan apabila ahli KWSP mencapai usia 55 tahun sahaja.

"Bagaimanapun, ketika penularan pandemik Covid-19 dan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada Mac tahun lalu, ramai hilang sumber pendapatan selain ada diberhentikan kerja.

"Dalam hal ini, sebelum membuat pengeluaran khas caruman Akaun 1, pastikan kita meneliti beberapa perkara termasuk tujuan pengeluaran, jumlah pengeluaran dan mengetahui impak pengeluaran terhadap dana persaraan bagi memastikan wang KWSP dikeluarkan dapat dioptimumkan penggunaannya dan tiada penyesalan di kemudian hari," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi AKPK bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan terutama dalam situasi ketika ini.

Menurutnya, pada masa sama, AKPK tidak melantik ejen atau wakil dan perkhidmatan AKPK adalah percuma kepada semua individu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:09 PM