GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Proklamasi Darurat sehingga Ogos hadapan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat peningkatan kes Covid-19 dalam negara bakal menjadi cabaran besar buat graduan mencari pekerjaan.

Graduan, Syukri Jefri, 25, mengakui situasi itu akan membataskan usaha mereka mendapatkan pekerjaan berikutan sektor ekonomi terjejas teruk akibat penularan pandemik itu sejak ia melanda negara awal tahun lalu.

Katanya, tahun ini saja dia sudah membuat permohonan sembilan jawatan kosong dipelbagai sektor pekerjaan, namun dia masih gagal mendapat panggilan kerja dan sudah tentu tempoh darurat serta pelaksanaan PKP kali ini menjadikan ia lebih sukar.

"PKP kali ini akan menyukarkan saya lagi untuk menempatkan diri dalam pekerjaan, apatah lagi yang bersesuaian dengan jawatan dan bidang pengajian saya.

"Kalau mohon kerja sambilan, kebanyakan tempat kerja hanya memerlukan pekerja yang sudah berpengalaman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia yang juga graduan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata, buat masa ini, dia menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual aiskrim, selain menerima tempahan ice blended atau ais kisar untuk mendapatkan duit poket.

"Saya bersyukur keluarga tidak memberi tekanan dan banyak memberikan motivasi dan semangat untuk terus mencari," katanya yang menetap Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor.

SYUKRI sudah memohon sembilan jawatan kosong pekerjaan namun masih gagal mendapat kerja. FOTO Ihsan Syukri Jefri
SYUKRI sudah memohon sembilan jawatan kosong pekerjaan namun masih gagal mendapat kerja. FOTO Ihsan Syukri Jefri

Seorang lagi graduan, Nursyahiidah Zulkifli, 24, berkata, mereka kini bukan saja perlu bersaing sesama graduan, malah dengan orang ramai yang hilang pekerjaan ketika pandemik ini melanda negara untuk mendapatkan pekerjaan.

"Saya menamatkan pengajian Jun tahun lalu dan sudah tidak terkira banyaknya jawatan pekerjaan yang saya mohon, namun masih belum mendapat apa-apa pekerjaan.

"Kebanyakan majikan memerlukan pekerja yang lebih berpengalaman," katanya yang juga graduan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, UTHM.

Nursyahiidah yang berasal dari Yong Peng, Johor berkata, ketika ini dia membantu perniagaan keluarga, selain mencari duit poket sendiri dengan membuat perniagaan secara atas talian.

"Saya kecewa kerana masih menganggur, namun ia tidak melunturkan semangat saya untuk untuk mencari kerja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:13 PM