GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Kebenaran melakukan aktiviti berbasikal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penggemar sukan itu tanpa mempertikai mahupun melanggar syarat berbasikal secara individu ditetapkan.

Timbalan Presiden Malaysia Mesra Basikal Akmal Azfar Abd Mutalib berkata, biarpun terdapat pengayuh yang lebih gemar melakukannya secara berkumpulan, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan tidak wajar diketepikan.

"Sebilangan pengayuh mungkin memilih melakukannya secara berkumpulan atas faktor keselamatan. Pendek kata, jika berlaku kejadian tidak diingini seperti ragut dan sebagainya, mereka dapat melindungi antara satu sama lain.

"Namun, saya fikir dengan keadaan pandemik yang agak membimbangkan sejak kebelakangan ini, amatlah penting untuk riadah berkumpulan dikawal.

"Saya sendiri tidak nampak sebarang masalah untuk ia dilakukan secara bersendirian namun jika perlu juga berkumpulan, cukuplah maksimum dua atau tiga orang saja, dengan penjarakan 10 meter misalnya ketika berkayuh selain tidak berhenti melepak di mana-mana," katanya.

Menjelas lanjut, Akmal Azfar berkata, penggemar aktiviti berbasikal perlu melihat syarat terbabit dari sudut positif memandangkan banyak lagi sukan lain tidak dibenarkan untuk dilakukan di kawasan PKP.

Beliau yang turut mengayuh secara bersendirian ke tempat kerja sejak tiga tahun lalu menganggap kebenaran itu sebagai keistimewaan buat penggemar aktiviti berbasikal yang perlu dihargai dengan cara mematuhi sepenuhnya SOP terbabit.

"Saya pun ada kalanya mengayuh secara berkumpulan juga namun dengan penularan wabak (Covid-19) di negara kita sekarang, lebih baik kita tangguhkan seketika bagi mengurangkan kontak.

"Mungkin ini juga masanya untuk kita merancang kayuhan mengikut had jarak yang dibenarkan dengan melihat laluan bersesuaian dalam memanfaatkan peluang diberikan kerajaan untuk berbasikal," katanya.

Menerusi pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu, pelaksanaan PKP akan kembali dikuatkuasakan di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Demi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, beberapa aktiviti riadah dibenarkan untuk dilakukan sepanjang tempoh terbabit antaranya joging dan berbasikal namun terhad kepada secara bersendirian saja dengan jarak dua meter daripada individu lain.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:06 PM