GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Penganjuran majlis keramaian termasuk majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan di Pahang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, turut tidak dibenarkan ialah majlis sosial seperti majlis perkahwinan, pertunangan, resepsi, aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun dan sambutan hari kelahiran.

Beliau berkata, penyertaan pegawai kerajaan dan swasta bagi majlis rasmi dan tidak rasmi dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

"Selain itu, turut tidak dibenarkan adalah segala aktiviti boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Aktiviti hiburan , kelab malam atau pub, taman tema dan panggung wayang tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagi melaksanakan PKPB yang diputuskan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang bermesyuarat hari ini, Wan Rosdy berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan syarat pengoperasian dan aktiviti dibenarkan.

Katanya, tempoh masa premis dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam.

"Sehubungan itu, majikan hendaklah memastikan pekerja bebas daripada gejala Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja dan saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan.

"Semua pelanggan, pelawat dan individu berurusan di premis perlu menjalankan saringan suhu badan dan merekodkan data termasuk nama, alamat dan nombor telefon.

"Premis hendaklah dinyah kuman setiap hari, menyediakan cecair pensanitasi tangan untuk semua pekerja dan pelanggan hendaklah memakai pelitup muka sepanjang berada di premis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:53 PM