Penduduk kampung, Mohd Rasik Ujang 57 bersama Mohamad Naziri Razali 48, menggunakan sampan untuk ke Masjid Kampung Acheh untuk menunaikan solat Jumaat, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
Penduduk kampung, Mohd Rasik Ujang 57 bersama Mohamad Naziri Razali 48, menggunakan sampan untuk ke Masjid Kampung Acheh untuk menunaikan solat Jumaat, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Mangsa banjir di Pahang semakin menurun kepada 5,751 orang daripada 1,599 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, 8.30 pagi ini.

Berbanding petang semalam, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 6,444 orang daripada 1,776 keluarga yang ditempatkan di 86 PPS.

Berdasarkan rekod, Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 2,928 mangsa daripada 832 keluarga diikuti Maran dengan 1,337 orang (388 keluarga) dan Kuantan seramai 849 orang (195 keluarga).

Di Temerloh pula membabitkan 392 mangsa daripada 117 keluarga dan Bera 245 orang (67 keluarga).

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.

Manakala Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran pula melepasi paras amaran.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:10 AM