ANTARA sayur dan buah yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
ANTARA sayur dan buah yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Sebanyak 2,061 kilogram (kg) sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai RM9,277 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perlis selepas cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit yang sah dari Thailand.

Rampasan dilakukan pada 9 Januari lalu dengan kerjasama anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Padang Besar yang sebelum itu menahan tiga lori di sekitar kawasan Padang Besar.

Pengarah MAQIS Perlis, Mohamad Arshad Raffin berkata, hasil dari pemeriksaan lanjut pada lori berkenaan mendapati lori itu membawa banyak barang dagangan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan anggota MAQIS kemudian mendapati tiga lori berkenaan membawa barang dagangan seperti nanas, mangga, daun limau purut, limau purut, serai, daun bawang, ubi keladi dan bawang merah yang dianggarkan seberat 2,061 kg dengan nilai sebanyak RM9,277.

"Malah, pemeriksaan kita juga mendapati barang dagangan itu tidak menepati syarat import yang ditetapkan MAQIS iaitu tidak mempunyai permit import," katanya dalalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, perbuatan mengimport barang dagangan tanpa permit import adalah satu kesalahan yang serius.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(3) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara ini bagi memastikan keselamatan pertanian, haiwan dan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:31 AM