NIK EZANEE MOHD FAISAL
NIK EZANEE MOHD FAISAL
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit kejadian pukul dan ugut di sebuah restoran pada Selasa lalu dibebaskan dengan jaminan hari ini.

Sebelum ini, kedua-dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun itu direman dua hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Bagaimanapun, permohonan untuk menyambung tempoh reman yang berakhir hari ini ke atas kedua-dua suspek ditolak Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kejadian terbabit.

"Isnin ini, kita akan hantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya kepada media.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan, polis menahan dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk, selepas dipercayai terbabit kejadian pukul dan ugut seorang lelaki di sebuah restoran di Persiaran Tropicana di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, dua suspek ditahan di Mutiara Damansara, jam 3.40 petang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada suspek ditegur oleh seorang lelaki tidak dikenali iaitu pelanggan yang duduk di meja bersebelahan kerana suspek bercakap dengan nada suara yang tinggi.

Satu video berdurasi 29 saat menunjukkan suspek memukul seorang lelaki di restoran berkenaan turut tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 3:16 PM