DR AMAN RABU
DR AMAN RABU
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Fasiliti dan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mencukupi untuk merawat warga tempatan yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hanya menghantar warga asing ke Pusat Kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, sekiranya perlu dan mengikut kes.

"Bagi pesakit Covid-19 yang terdiri daripada rakyat Johor dan warganegara, mereka akan dirawat di fasiliti KKM di negeri ini.

"Jangan risau, setakat ini fasiliti dan kakitangan KKM mencukupi ," katanya ketika dihubungi.

Khamis lalu seramai 106 orang positif Covid-19 dari Muar dipindahkan ke MAEPS Serdang menggunakan tiga bas yang diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Aman berkata, kesemua 106 pesakit berkenaan adalah pekerja warga asing dengan kos penghantaran kesemua pekerja warga asing itu ditanggung majikan mereka.

Dalam pada itu katanya, JKNJ tidak merancang untuk membuka lebih banyak fasiliti bagi menempatkan pesakit Covid-19 negeri ini walaupun kes semakin meningkat,

Dr Aman berkata, fasiliti yang ada masih dapat menampung jumlah pertambahan kes.

Katanya, bukan semua pesakit yang dirawat akan kekal berada di fasiliti KKM negeri ini kerana ramai yang sudah pulih dan kembali pulang ke rumah selain, Johor antara negeri mencatatkan peratusan pesakit pulih yang tinggi di negara ini.

"Bagaimanapun kita mohon semua rakyat Johor supaya terus patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah terutama kawasan sesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 5:48 PM