GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


Padawan: Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook dengan nama Jenifer Lawrence kerana menyebarkan maklumat palsu mengenai kes positif Covid-19 di Sarawak, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, ia susulan laporan yang diterima daripada orang awam mengenai maklumat palsu berkenaan sekitar jam 7.15 malam, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, akaun Facebook berkenaan memuat naik status "321 kes positif dalam Sarawak hari ini. Rekod tertinggi" menerusi Facebook Sarawak Covid-19 Awareness Group dan turut tersebar di aplikasi WhatsApp kumpulan Covid Malaysia.

"Pemilik akaun Facebook itu memuat naik laporan berkenaan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

"Bagaimanapun kesemuanya dipadamkan pada jam 6 petang oleh pemilik akaun berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata, usaha mengesan suspek kini giat dijalankan selepas maklumat itu didapati fakta palsu dan menimbulkan kegelisahan serta panik dalam kalangan orang awam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan akibat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 5:59 PM