VISHWANATH, Dr Faisal dan Prof Datuk Ir Abdul Rahman di majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) kerjasama penubuhan Pusat Inovasi dan Automasi (CiA) yang memberi tumpuan kepada industri Industri 4.0 (IR4.0). FOTO IHSAN USM
VISHWANATH, Dr Faisal dan Prof Datuk Ir Abdul Rahman di majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) kerjasama penubuhan Pusat Inovasi dan Automasi (CiA) yang memberi tumpuan kepada industri Industri 4.0 (IR4.0). FOTO IHSAN USM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) dan Western Digital bakal menubuhkan Pusat Inovasi dan Automasi (CiA) yang memberi tumpuan kepada Industri 4.0 (IR4.0) dalam reka bentuk dan pembangunan, pembentukan prototaip dan penjanaan harta intelek.

Penubuhan CiA sebagai hab teknologi eksklusif itu membolehkan kedua-dua organisasi bekerjasama dalam projek penyelidikan bagi mempromosikan hasil penyelidikan berkenaan.

Naib Canselor USM, Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, projek itu adalah yang pertama di Malaysia sekali gus meletakkan USM sebagai 'universiti dalam industri' untuk membolehkan pensyarah dan penuntut menerima pengalaman langsung dalam melengkapkan diri menjadi 'industry-ready'.

Katanya, kerjasama itu tepat pada masanya sebagai peneraju infrastruktur data di mana penuntut PhD terpilih juga akan menikmati peluang berkenaan.

"Apa yang dipelajari di makmal kini dapat diubah, dipindahkan dan diterapkan dalam senario dunia nyata.

"Ia pasti akan membawa nilai tambah dan meningkatkan lagi rantaian nilai dalam sektor industri," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Satu memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani di mana USM diwakili Faisal dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Datuk Ir Abdul Rahman Mohamed.

Manakala Western Digital diwakili Pengurus Besar Tapak Vishwanath Ramaswamy dan wakil Presiden Operasi Backend Global Western Digital, KL Bock.

Sementara itu, Bock berkata, kerjasama Western Digital dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan USM itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pemain industri terkemuka dan komuniti akademik, malah menyatukan fikiran serta bakat bagi mendorong kemajuan teknologi pembuatan.

Katanya, kedua-dua organisasi akan bekerjasama dalam projek penyelidikan yang didorong oleh industri dan mempromosikan hasil penyelidikan berkenaan.

"Kerjasama dengan USM akan mendorong usaha kami dalam bidang 'Lights Out Automation' bagi mencapai operasi yang tahan lasak dalam lingkungan dinamis serta keuntungan besar daripada segi produktiviti dan kualiti.

"Ia mencerminkan komitmen berterusan terhadap masyarakat dalam pengembangan bakat lokal, kemampuan industri dan pemindahan bersama teknologi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:46 PM