Penduduk setempat serta sukarelawan bergotong-royong membersihkan lumpur pasca banjir di Masjid Lama Kampung Pantai, Seberang Chenor, Maran. Foto Farizul Hafiz Awang
Penduduk setempat serta sukarelawan bergotong-royong membersihkan lumpur pasca banjir di Masjid Lama Kampung Pantai, Seberang Chenor, Maran. Foto Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

Kuala Lumpur: Situasi bencana banjir yang melanda Sabah dan Sarawak awal minggu ini dilaporkan semakin pulih dengan jumlah mangsa yang semakin berkurangan di kedua-dua negeri itu hari ini.

Keadaan cuaca yang lebih baik di Sarawak menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus merekodkan penurunan dengan 3,780 orang setakat ini berbanding 4,247 orang pagi tadi.

Jumlah mangsa banjir di Sabah juga menunjukkan penurunan pagi tadi, namun sehingga 4 petang ini, angka itu kekal 183 orang daripada 51 keluarga.

Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan sehingga Isnin.

Sementara itu, di Pahang, keadaan banjir yang masih melanda lima daerah semakin baik apabila jumlah mangsa semakin berkurangan iaitu 4,872 orang daripada 1,352 keluarga di 62 PPS petang ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kekal 93 di Segamat dan Batu Pahat, dengan masing-masing berada di dua PPS iaitu PPS Sekolah Agama Gemereh (76 orang) dan PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut Parit Raja (17 orang), setakat 4 petang ini.

Dalam perkembangan lain, usaha meringankan beban mangsa banjir dizahirkan AmBank Group yang menawarkan moratorium bantuan banjir sehingga enam bulan kepada pelanggan yang terjejas akibat bencana itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir menerusi satu kenyataan berkata moratorium itu merangkumi ansuran bulanan atau pembayaran balik bagi semua fasiliti pinjaman dan pembiayaan termasuk kemudahan kad kredit, selain mengetepikan semua caj sampingan dan penggantian untuk pelanggan yang ingin menggantikan buku simpanan, buku cek, sijil simpanan tetap, ATM, kad kredit dan debit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:16 PM