Foto hiasan
Foto hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan peruntukan RM35.4 juta digunakan untuk membina sebuah dewan orang ramai di Parlimen Pagoh.

Sebaliknya, peruntukan itu digunakan untuk membina tiga dewan iaitu Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.6 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.7 juta).

"Peruntukan pembangunan ini bukan untuk pembinaan sebuah dewan seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

"Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat. Perolehan bagi projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan Kementerian Kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dakwaan seperti yang ditularkan adalah berniat jahat dan Pejabat Perdana Menteri berasa kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:30 PM