Mohamed Farid Noh

Pasir Gudang: Lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa siri membaling bahan letupan molotov cocktail dan cat merah di sekitar kawasan perumahan di Seri Alam di sini, ditahan polis pagi hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada 7 pagi hasil maklumat awam.

"Bertindak atas maklumat dan perkembangan siasatan kes, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya mengesan dan menahan suspek yang berusia 36 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Ria Plentong, Masai.

"Suspek dipercayai terbabit dalam beberapa siri membaling bahan letupan molotov cocktail dan cat merah di rumah.

"Hasil penahanannya dan pemeriksaan lanjut, kami berjaya menemui dan merampas pelbagai jenis barang kes untuk siasatan lanjut termasuk pakaian dan topi keledar miliknya yang terdapat kesan percikan cat merah, marker pen yang dipercayai digunakan untuk menulis nota ugutan selain pemetik api yang dipercayai digunakan untuk menyalakan sumbu molotov cocktail.

"Polis percaya suspek dipercayai melakukan satu kes membaling bahan letupan molotov cocktail di hadapan sebuah rumah di Taman Molek, Khamis lalu pada 9.30 pagi dan satu kes membaling cat merah di hadapan sebuah rumah di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram hari yang sama pada 11.15 pagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, polis dilaporkan mengesahkan menerima laporan mengenai insiden menyimbah cat di sebuah kediaman di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram yang dipercayai angkara Ah Long yang tersilap rumah.

Mengulas lanjut, Shahrulanuar Mushaddat berkata, suspek mempunyai dua rekod kesalahan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Johor Bahru Selatan dan kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Inanam, Sabah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah.

"Suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan bagi mengenal pasti kes lain di Seri Alam serta daerah lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan turut mengenal pasti serta mengesan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen (Ah Long) yang berurusan dengan suspek kerana dia dipercayai dibayar sebanyak RM300 sebagai upah bagi setiap kali perlakuannya itu.

Berikutan itu, Shahrulanuar mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian dan sindiket itu agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 10:01 PM