DATUK Shahrul Lailli Masduki bersama anggota PDRM dan ATM melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan pada sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka malam tadi. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
DATUK Shahrul Lailli Masduki bersama anggota PDRM dan ATM melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan pada sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka malam tadi. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Amir Mamat


Ayer Keroh: Polis Melaka mengeluarkan 90 kompaun ke atas orang awam yang kebanyakannya membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri itu, Rabu lalu.

Selain itu, kompaun terbabit juga dikeluarkan ke atas pengusaha premis perniagaan yang gagal menyediakan buka kedatangan serta pemeriksaan suhu pelanggan.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki, berkata pihaknya tidak berkompromi ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi arahan serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia termasuk pengguna jalan raya yang tidak menepati tahap kepatuhan undang-undang menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR).

"Sejak empat hari pelaksanaan PKP, kami sudah menjalankan pemeriksaan ke atas 17,392 kenderaan di 15 SJR seluruh negeri dan daripada jumlah itu, sebanyak 74 kenderaan diarah supaya berpatah balik kerana memberikan alasan tidak munasabah untuk meneruskan perjalanan.

"Pihak polis bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan sentiasa mengawasi setiap pintu keluar masuk ke tiga daerah di negeri ini sebagai langkah untuk memastikan tiada pergerakan yang tidak perlu pengguna jalan raya," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan tinjauan di SJR Plaza Tol Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Turut hadir, Komander Artileri 3 Division, Brigadier Jeneral Datuk Noor Sazali Puteh dan Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brigadier Jeneral Datuk Yusof Jantan.

Sharul Lalli berkata, sehingga semalam, pihak polis sudah mengeluarkan sebanyak 1,596 surat kelulusan merentas daerah dan negeri kepada orang ramai yang memohon untuk berbuat demikian.

Katanya, antara kelulusan itu termasuklah atas urusan penghantaran anak ke pusat pengajian tinggi, asrama sekolah, aktiviti kebajikan serta memenuhi temujanji perubatan di hospital di luar Melaka.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahap pematuhan pengguna jalan raya di Melaka untuk tempoh empat hari pelaksanaan PKP adalah 95 peratus dan ia sangat membanggakan.

Katanya, tiada sebarang kompaun dikeluarkan oleh pihak berkuasa kepada golongan berkenaan, ketika pemeriksaan di SJR di negeri itu sejak Rabu lalu.

"Sehingga jam 10 malam (malam tadi), keadaan jalan raya di sekitar bandar Melaka lengang dan ia menunjukkan tahap pematuhan rakyat di negeri ini cukup baik dan membanggakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 10:51 AM