Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Dua wanita berdepan detik cemas apabila diragut selepas selesai membeli-belah di sebuah pasar raya di Balakong, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada hari yang sama membabitkan mangsa dua wanita.

"Polis mengesahkan menerima laporan dari kedua-dua mangsa, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa selesai membeli-belah dan menuju ke parkir kereta.

"Dua kejadian berasingan itu dipercayai dilakukan suspek yang sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, kedua-dua mangsa kehilangan barang kemas, barang peribadi, wang tunai dan kunci kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, polis percaya suspek yang sama melakukan ragut dalam kedua-dua kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk berhubung dengan mana-mana balai polis atau terus berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Zharif Shah di talian 012-5925390," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 4:08 PM
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan