Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Kerajaan akan membuat keputusan berhubung permohonan pengusaha restoran dan kedai makan di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melanjutkan operasi dalam masa terdekat ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia susulan pihaknya menerima banyak permohonan dan rayuan daripada pihak terbabit yang terjejas berikutan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam.

Katanya, rayuan berkenaan juga sudah dirujuk kepada Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tindakan lanjut.

"Kerajaan akan timbang rayuan peniaga makanan dalam masa terdekat tertakluk nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita amat memahami keperluan untuk mereka (peniaga makanan) meneruskan perniagaan apatah lagi sebahagian sektor industri negara baharu sahaja mahu menghidupkan semula operasi masing-masing dengan bantuan dan insentif kerajaan.

AZMIN bersama Mohd Rashid (kiri) bergotong royong membersihkan balai raya Kampung Tembioh Kota Tinggi ketika menyertai Program Misi Bantuan Bencana Banjir MITI dan Agensi 2021 di Kota Tinggi.  FOTO ZAIN AHMED
AZMIN bersama Mohd Rashid (kiri) bergotong royong membersihkan balai raya Kampung Tembioh Kota Tinggi ketika menyertai Program Misi Bantuan Bencana Banjir MITI dan Agensi 2021 di Kota Tinggi. FOTO ZAIN AHMED

"Pertimbangan akan dibuat berdasarkan situasi kesihatan rakyat membabitkan wabak Covid-19 dalam beberapa hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai gotong royong pembersihan balai raya di Kampung Tembioh di sini, sempena Program Misi Bantuan Bencana Banjir kementeriannya hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Negeri Johor.

Sebelum ini, pengusaha restoran, kedai makan, gerai dan penjaja makanan seluruh negara merayu kerajaan melanjutkan waktu operasi perniagaan sektor itu sehingga jam 10 malam dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Semua sektor itu di negeri dikenakan PKP hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang dan dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam berkuat kuasa 13 hingga 26 Januari ini.

Sementara itu, Azmin berkata, kerajaan terpaksa menyediakan insentif dan bantuan khas kepada sektor ekonomi terjejas sekiranya PKP berlanjutan lebih dua minggu.

"Insentif dan bantuan khas ini juga sedang diteliti dan dibincangkan kepada Kementerian Kewangan bagi memastikan sektor ekonomi negara tidak lumpuh," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 4:09 PM