X
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengaktifan semula kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan dilihat sebagai kaedah terbaik ketika ini, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Namun, berdasarkan pengalaman pelaksanaan PdPR sebelum ini, terdapat beberapa isu yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik tanpa ada yang tercicir.

Masalah capaian internet dan kekangan perolehan peranti adalah isu utama yang perlu diberikan perhatian tatkala pembelajaran norma baharu itu menjadi alternatif kepada sesi persekolahan secara bersemuka yang tidak dapat dilakukan ketika ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock berkata, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan perhatian kepada usaha menyediakan peranti dan capaian internet pelajar di rumah.

"Satu daripadanya adalah berikan satu tax holiday (pelepasan cukai) kepada ibu bapa untuk membeli peranti.

"Kedua, pengecualian cukai pendapatan untuk membeli peranti bagi anak-anak mereka," katanya ketika dihubungi Bernama TV hari ini.

Isu keberkesanan PdPR dibangkitkan banyak pihak, terutama dalam aspek capaian internet dan peranti yang memberi kesan kepada anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan.

Semalam, Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Berikutan itu, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai tarikh berkenaan.

Tan berkata, kerajaan juga boleh mencari jalan dengan menggemblengkan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan persendirian bagi mendapatkan dana membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memperoleh peranti.

Mengenai kelemahan proses PdPR seperti pelajar tidak bersemangat kerana tiada guru secara bersemuka dan masalah pengurusan masa ibu bapa dalam memantau pelaksanaan PdPR tersebut, Tan berkata, kejayaan kaedah pembelajaran itu membabitkan kerjasama semua pihak.

"Google Classroom jika nak dijayakan perlukan kerjasama semua pihak, bukan guru saja, khasnya ibu bapa kerana guru tidak dapat mendisiplinkan anak didik mereka.

"Murid-murid ini perlukan arahan dan ketegasan ibu bapa untuk memastikan anak mereka mengikuti kelas," katanya.

Tan berkata, pihaknya juga menerima cadangan untuk melaksanakan PdPR di luar waktu bekerja ibu bapa iaitu pada sebelah petang atau malam, namun perkara itu perlu mendapat persetujuan semua pihak.

Selain itu, beliau berpendapat latihan formal kepada para guru untuk mengajar dengan lebih efektif dalam situasi itu, juga amat diperlukan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Mohamad Ali Hassan pula mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan pusat rujukan PdPR di setiap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"(Ia) sebagai pusat sehenti menangani sebarang masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pihak yang menjalankan PdPR di rumah. Saya juga cadangkan seorang pegawai khas atau person in charge diwujudkan sebagai koordinator atau perancang atau penyelaras untuk PdPR," katanya.

Katanya, pendekatan PdPR masih baharu di Malaysia dan perlu diperkukuh dan diperkasakan dengan komitmen jitu semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 9:10 PM