GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Corak pembelajaran di negara ini perlu segera melalui fasa perubahan mengikut keadaan normal baharu bagi menangani isu pelajar hilang fokus dan motivasi.

Pakar Pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, walaupun guru menggunakan teknologi untuk berhubung dengan pelajar, untuk memotivasikan serta memberi semangat kepada pelajar bukan mudah.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi negara sedang melalui masa 'luar biasa' pandemik Covid-19 dan situasi ini di luar jangkaan semua pihak.

"Sepatutnya kita dalam fasa perubahan kerana jika tidak berlaku pandemik Covid-19 ini sekalipun, kita patut berubah dan sudah lama bersedia untuk e-pembelajaran.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa cara untuk guru memotivasikan pelajar terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan besar lain.

"Antaranya melalui nilai agama dan psikologi apabila ustaz dan ustazah boleh memainkan peranan utama kerana mereka lebih arif mengenai nilai rohani (spiritual).

"Selain itu, guru boleh menaikkan semangat pelajar dengan menetapkan matlamat jangka pendek dan menggalakkan pelajar untuk meluangkan masa beriadah dan berehat," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, guru tidak boleh terlalu menekan pelajar kerana dalam situasi sekarang, kesihatan mental pelajar perlu diutamakan.

Menurutnya, e-pembelajaran yang dijalankan guru seharusnya lebih interaktif termasuk memasukkan elemen kuiz, penilaian dan pelbagai aktiviti menarik lain.

"Guru boleh menjemput pelajar untuk menyumbang idea semasa kelas dalam talian atau minta mereka memberi penjelasan kepada rakan lain serta beri peluang pelajar memberi pandangan dan pendapat.

"Pada masa sama, Kementerian Pendidikan harus memainkan peranan dalam senario ini kerana penilaian pelajar pada masa ini sudah pasti berbeza.

Beliau berkata, silibus pembelajaran perlu diubah seiring peredaran normal baharu dan pelajar perlu tahu bagaimana mereka dinilai supaya lebih fokus.

Baru-baru ini, tular di media sosial, apabila segelintir pelajar meluahkan kegusaran dan seperti hilang semangat untuk menduduki peperiksaan SPM tahun ini berikutan impak pandemik Covid-19 yang 'memaksa' proses pembelajaran sepenuhnya diadakan secara dalam talian.

Perubahan suasana pembelajaran itu turut menimbulkan rasa putus asa pelajar yang seolah-olah 'hilang rasa' pentingnya SPM dalam menentukan masa depan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 9:33 PM