SALAH seorang mangsa yang cedera dalam kejadian itu. FOTO ihsan pembaca.
SALAH seorang mangsa yang cedera dalam kejadian itu. FOTO ihsan pembaca.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis masih menyiasat kes kemalangan membabitkan dua remaja bermotosikal di Jalan Tanjong Tokong, di sini, hari ini.

"Kejadian itu masih dalam siasatan polis," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi, malam ini.

Dalam kejadian itu, dua remaja terbabit dikatakan parah akibat terjatuh daripada motosikal itu.

Gambar dan video kejadian itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Menerusi video berkenaan, ada penduduk tidak berpuas hati dan mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja terbabit.

Beberapa penduduk lain cuba menenangkan dua mangsa yang dirawat pasukan perubatan.

Pada masa sama, tular laporan polis dibuat anggota polis yang mendakwa remaja itu memecut laju dan melanggar lampu isyarat merah sebaik diarahkan berhenti, sebelum berlanggar dengan kereta.

Anggota polis terbabit dikatakan membuat laporan kerana bimbang apabila dikerumuni orang ramai termasuk mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka.

Kehadiran ramai anggota unit kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) membantu menenangkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 11:20 PM