LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Akibat menggunakan telefon bimbit ketika memandu, seorang lelaki merempuh papan tanda sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ditahan polis di Jalan Klang Lama di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.50 petang, lelaki berusia 40 tahun itu yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan untuk membeli makanan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek melanggar papan tanda pemeriksaan menyebabkan berlaku kerosakan.

"Polis menahan suspek dan merampas keretanya untuk tindakan lanjut.

"Soal siasat awal, suspek mengaku cuai sewaktu memandu kerana menggunakan telefon bimbit dan memberikan alasan keluar rumah untuk membeli makanan di Taman Gembira, Jalan Klang Lama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil saringan air kencing juga negatif.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana melanggar SJR.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu memandu kerana kecuaian akan membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Orang ramai juga diseru mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang dikuatkuasakan kerajaan," katanya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 8:29 AM