FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Mamat


Melaka: Dua kakitangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka disahkan positif jangkitan Covid-19 selepas menjalani ujian saringan, minggu lalu.

Berikutan itu seramai 83 kontak rapat dua kakitangan terbabit sudah dikenal pasti untuk tindakan lanjut dan kuarantin.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kedua-dua kakitangan wanita berusia 30 dan 53 tahun itu adalah pegawai rendah polis berpangkat sub inspektor dan kakitangan awam di bahagian logistik di IPK itu.

"Seramai 83 kontak rapat dikesan membabitkan pegawai, anggota serta ahli keluarga. Seramai 45 orang daripadanya diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

"Salah seorang mangsa mendapat jangkitan daripada kawan anaknya manakala seorang lagi mendapat jangkitan daripada kakaknya ketika balik ke kampungnya di luar Melaka," katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka di sini, tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor untuk menjalani rawatan.

Beliau berkata, situasi itu tidak menjejaskan komitmen Polis Kontinjen Melaka dalam tugas harian atau pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

Polis Kontinjen Melaka sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengekang penularan pandemik itu dalam kalangan anggota dan pegawainya termasuk melakukan proses nyah cemar di bangunan IPK Melaka serta membantu Kementerian Kesihatan mengesan kontak rapat kes terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:57 PM