ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 785 individu ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 765 orang dikompaun manakala 19 individu direman dan seorang dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (250), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (38), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (165), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (31) dan lain-lain (164).

"Sebanyak 2,588 pasukan pematuhan yang melibatkan 12,020 anggota membuat pemantauan di 3,591 pasar raya, 4,697 restoran, 1,604 penjaja, 1,320 kilang, 3,142 bank dan 540 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau sebanyak 922 terminal pengangkutan darat, 239 terminal pengangkutan air serta 64 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas berhubung kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, seramai 33 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan empat kenderaan darat dirampas.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sebanyak 415 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam di seluruh negara bagi mengekang kemasukan Pati.

Beliau berkata, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 729 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (562), pemborong (138) dan pengilang (29), semalam.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara.

"Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 1,568 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP. Daripada jumlah itu, 1,564 premis mematuhi SOP manakala empat lagi premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,"katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:02 PM