ANTARA pelbagai jenis ikan dirampas diletakkan bersama ikan lain yang mempunyai dokumen sah bagi mengelirukan pihak penguat kuasa. FOTO Maqis
ANTARA pelbagai jenis ikan dirampas diletakkan bersama ikan lain yang mempunyai dokumen sah bagi mengelirukan pihak penguat kuasa. FOTO Maqis
BERNAMA

Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menggagalkan cubaan membawa keluar bekalan ikan basah seberat 1,145 kilogram (kg) tanpa permit eksport yang sah, petang semalam.

Pengarahnya Nur Afifah A Rahman berkata, rampasan bernilai RM24,265 itu dibuat pihaknya di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di Iskandar Puteri pada 2 petang, susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang membawa muatan ikan ke Singapura.

"Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah 1,145kg ikan pelbagai jenis diletakkan bersama ikan lain yang mempunyai dokumen sah bagi mengelirukan pihak penguat kuasa.

"Antara ikan yang cuba diseludup keluar itu adalah bawal, siakap dan jelawat," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori disoal siasat namun dilepaskan selepas diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 11(3) akta sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 2:59 PM