EXCO Perdagangan Industri dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain (tiga dari kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar (kiri) melakukan pemantauan sempena walkabout harga barangan harian di pasaraya Tesco Jelutong di sini. FOTO DANIAL SAAD
EXCO Perdagangan Industri dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain (tiga dari kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar (kiri) melakukan pemantauan sempena walkabout harga barangan harian di pasaraya Tesco Jelutong di sini. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sudah mengeluarkan arahan kepada peruncit supaya mengehadkan pembelian minyak masak paket sekilogram.

Arahan itu dikeluarkan supaya pembeli tidak membeli secara berlebihan keperluan bekalan itu.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, arahan itu antaranya ialah mengehadkan pembelian minyak masak antara dua hingga lima paket bagi setiap pembeli.

Namun katanya setakat ini, bekalan minyak masak di negeri ini adalah mencukupi.

"Kita sudah mengeluarkan arahan kepada peruncit supaya mengehadkan penjualan minyak masak paket sekilogram.

"Cuma kita terima beberapa aduan mengenai kenaikan harga minyak masak dalam botol baru-baru ini dan sudah pergi ke semua peringkat termasuk kepada peruncit dan pemborong bagi meninjau keadaan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Mohd Ridzuan ditemui selepas melakukan tinjauan harga barangan di pasar raya Tesco Jelutong di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, satu jawatankuasa Penggerak Pengguna Pulau Pinang akan ditubuhkan di peringkat negeri.

Jawatankuasa berkenaan akan bekerjasama dengan KPDNHEP selain dianggotai oleh individu dalam bidang kepenggunaan.

"Ia akan ditubuhkan di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) di Pulau Pinang.

"Kita juga menerima beberapa aduan mengenai kenaikan harga minyak masak pada minggu lalu dan kita akan pastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 9:14 PM