FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 63,895 pelajar baharu di Sabah memulakan sesi persekolahan menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PDPR) esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata, 36,174 orang adalah murid tahun satu diikuti pelajar tingkatan satu seramai 27,401 orang manakala 320 orang pelajar kelas peralihan.

Katanya, seramai 51,294 pelajar pula akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

"Mereka terdiri daripada 33,503 pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester Satu 2021 seramai 9,380 orang.

"Selebihnya iaitu seramai 8,411 orang adalah pelajar STPM Semester Tiga 2020," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 22 sekolah di Sabah masih terjejas akibat banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir sejak beberapa hari lalu.

Katanya, jumlah paling banyak ialah di Beaufort sebanyak 13 sekolah diikuti Kota Belud enam sekolah dan masing-masing satu sekolah di Beluran serta Tuaran.

Menurutnya, keadaan itu membabitkan seramai 433 guru dan 4,891 murid namun sesi persekolahan masih diteruskan kerana dijalankan secara PDPR.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 9:54 PM