PASUKAN SAR berusaha mencari dua nelayan yang hilang sejak Ahad lalu sebelum operasi dihentikan hari ini. FOTO ihsan polis.
PASUKAN SAR berusaha mencari dua nelayan yang hilang sejak Ahad lalu sebelum operasi dihentikan hari ini. FOTO ihsan polis.
Amir Mamat


Melaka: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan dari Jeti Nelayan Padang Temu, di sini, yang dilaporkan hilang selepas keluar menjaring ikan di perairan Pulau Undan sejak Rabu lalu, dihentikan pada 6 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi memasuki hari ketiga pada hari ini terpaksa dihentikan kerana pasukan penyelamat tidak menemui petunjuk baharu mangsa, Ahmad Norizan Mohamad, 37, dan Irwan Radjab, 47.

"Selepas tiga hari operasi SAR dilaksanakan, kita terpaksa menghentikannya 6 petang hari ini kerana tidak menemui sebarang petunjuk baharu kes selain patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) SAR.

"Isteri serta keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu dan mereka berterima kasih kepada pasukan SAR yang bertungkus-lumus selama tiga hari ini.

"Operasi terbabit akan diteruskan sekiranya kita menemui petunjuk baharu," katanya.

Afzanizar berkata, walaupun operasi SAR dihentikan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin yang menjalankan rondaan Op Benteng sedia menyalurkan maklumat sekiranya terdapat petunjuk kes.

"Op Benteng bertujuan menangani isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan negara, tapi jika ada petunjuk baharu berkenaan kes dua nelayan ini, mereka akan bantu menyalurkan maklumat kepada kita," katanya.

Ahad lalu, Ahmad Norizan dan Irwan dilaporkan hilang selepas empat hari keluar menangkap ikan sekitar Pulau Undan.

Kehilangan Ahmad Norizan disedari isterinya pada Sabtu lalu selepas suaminya itu tidak pulang sejak 13 Januari lalu.

Susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Kandang pada 6 petang Sabtu lalu, pihak berkuasa memulakan operasi SAR pada Ahad sehingga petang hari ini, membabitkan 60 pegawai dan anggota agensi berkaitan termasuk nelayan.

Operasi SAR diperluas sehingga 54 kilometer (km) persegi semalam, namun pihak berkuasa belum menemui sebarang petunjuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 10:33 PM