MUHYIDDIN YASSIN
MUHYIDDIN YASSIN
Raja Noraina Raja RahimOmar AhmadAhmad Rabiul ZulkifliNoor Hidayah TanziziMohammad Roji dan Siti Rohana Idris


Kuala Lumpur: Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin adalah usaha berterusan kerajaan membantu rakyat dan ekonomi negara berdepan penularan pandemik Covid-19.

Pakej bantuan Permai merangkumi 22 inisiatif dengan peruntukan RM15 bilion itu bermatlamat memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Wartawan Harian Metro mendapatkan pandangan rakyat berhubung inisiatif kerajaan itu bagi memastikan kelangsungan hidup dan kebajikan mereka terutamanya ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.


MUHAMMAD LATIF SAAD
MUHAMMAD LATIF SAAD

Pemandu teksi, Muhammad Latif Saad, Pulau Pangkor, 38

"Bantuan RM500 diumumkan untuk pemandu teksi meringankan beban kami dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan dengan beberapa negeri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, kerana ia turut menjejaskan sektor pelancongan di Pulau Pangkor yang terkenal sebagai destinasi pilihan percutian domestik."


Pembantu kedai makan, Riza Rumia, 47

"Sejak pembelajaran dijalankan dalam talian, saya akan memastikan telefon bimbit mempunyai data internet supaya memudahkan Kalau diikutkan memang tidak cukup 1GB data percuma itu untuk kegunaan harian, tetapi saya tetap bersyukur."


Pemandu e-hailing, Hairyzan Seran, 45

"Bantuan secara tunai diberi kerajaan sangat membantu kerana pada waktu PKP tiada pelanggan menaiki Grab.

Saya tetap berharap PKP segera berakhir, supaya dapat mencari rezeki secara berterusan."


Warga emas, Selema Seman, 80, Kampung Gelong Gajah, Terengganu

"Sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana mempercepatkan fasa terakhir BPN 2.0 secara tidak langsung membantu rakyat yang memerlukan terutama warga emas."

WAN SAEMATUL SAADAH WAN HUSIN
WAN SAEMATUL SAADAH WAN HUSIN

Pembantu peribadi, Wan Saematul Saadah Wan Husin, 25, Kampung Bukit Bayas, Terengganu

"Melanjutkan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman memang wajar dan diperlukan rakyat yang terjejas terutama bagi individu yang kehilangan kerja."


Peniaga kecil, Mohamad Yamin Yahya, 27, Kampung Bukit Depu, Terengganu

"Pelepasan cukai khas bagi pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet memang meringankan beban rakyat terutama kepada ibu bapa yang perlu menyediakan gajet untuk kegunaan anak-anak belajar melalui atas talian."


Pengawal Keselamatan, Razzaaq A Rahman, 29, Kuching, Sarawak

"Difahamkan pembayaran BPN 2.0 akan dibuat pada 21 Januari ini dan ia pastinya khabar gembira bagi kami yang berada golongan B40.

Keadaan sekarang memang agak membebankan tambahan pula rumah saya di Kampung Tupong baru dilanda banjir, bantuan kerajaan amat kami harapkan."


JOSEPH@JIWI MATHEW
[email protected] MATHEW

Pemandu kereta sewa, [email protected] Mathew, 63, Kuching, Sarawak

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana turut menyenaraikan pemandu kereta sewa antara penerima bantuan one off RM500.Bantuan kerajaan ini memang kami harapkan kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, pendapatan pemandu kereta sewa merosot teruk apabila jumlah penumpang kami berkurangan kira-kira 80 peratus hingga sekarang.


Pengusaha telur jeruk, Zauyah Deraman, 35, Kampung Ana, Tumpat, Kelantan

"Bantuan dimanfaatkan untuk modal pusingan pembuatan telur jeruk yang diusahakannya secara kecil-kecilan selain untuk perbelanjaan hariannya.

Sekarang memang sangat terkesan yang mana jualan telur jeruk saya boleh dikatakan langsung 'tidak jalan' kerana saya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak boleh melakukan penghantaran."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 8:50 AM