X
Laporan Harian Metro
Laporan Harian Metro
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Mayat wanita yang ditemui terbaring berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Bandaran Berjaya, di sini, malam tadi, didapati terdapat kesan lebam di mata dan muka mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya masih menunggu laporan forensik bagi menentukan kes berkenaan.

"Secara fizikal ada kesan lebam di muka dan mata si mangsa. Sama ada unsur jenayah atau tidak, kita tunggu laporan lengkap daripada forensik.

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika ditemui, hari ini.

Habibi berkata, laporan doktor yang menjalankan pemeriksaan didapati mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayat itu ditemui.

"Mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an itu masih belum dikenal pasti identitinya dan bukan warga tempatan kerana tiada suntikan BCG pada lengan wanita terbabit.

"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga wanita diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran.

"Mayat mangsa kini berada dibilik mayat Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk bedah siasat," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penemuan mayat seorang wanita kira-kira jam 7 malam tadi.

Ketika ditemui mangsa berpakaian lengkap namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 11:21 AM