Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan Rahim Yusoff, 54, yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, namun kekurangan dimiliki tidak membataskan dirinya untuk melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup.

Kecacatan dialami Rahim sejak lahir, tidak membataskan dirinya malah dia bersyukur kerana mempunyai kaki normal yang dapat membantunya bergerak dan mencari rezeki bagi menyara kehidupannya bersama isteri, Noraidah Hamzah, 45, yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan tiga anak mereka berusia antara lapan hingga 17 tahun.

"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, pendapatan saya sebagai tukang jahit sedikit merosot selain pendapatan yang diperoleh juga tidak menentu dan ada ketikanya untuk memperoleh RM100 sebulan pun agak sukar.

"Memandangkan pendapatan tidak menentu, saya mengambil inisiatif menternak ikan air tawar di dalam gelung simen yang secara tidak langsung dapat menjana pendapatan tambahan untuk menyara keluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Pangkal Gong, Pulai Chondong, Machang.

Rahim berkata, idea untuk menternak ikan air tawar itu timbul apabila dia melihat gelung simen terbiar di tepi rumah dan terfikir untuk memanfaatkannya dengan cara menternak ikan air tawar dan dalam masa masa dia juga mengikuti kursus akuaponik secara percuma untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah seliaan Persatuan Pertanian Kelantan (Alami).

"Pada peringkat permulaan September tahun lalu, saya membeli 300 benih anak ikan keli dengan harga 20 sen seekor dan 100 anak benih ikan tilapia pada harga lima sen seekor daripada Jabatan Perikanan Kuala Krai dengan bermodalkan sebanyak RM300 termasuk kelengkapan untuk menternak ikan.

"Ketika di awal menternak ikan air tawar, kira-kira 50 hingga 250 ekor keli dan talipia yang diternak mati disebabkan beberapa faktor namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengusahakannya dan dalam masa sama turut mendapat tunjuk ajar daripada pegawai Jabatan Perikanan daerah Machang," katanya yang juga penerima Anugerah Usahawan OKU Tani.

Menurutnya, selain menternak lembu dan biri-biri serta menjual telur masin dia kini mempunyai perancangan untuk menternak ikan patin.

Rahim Yusoff mencari rezeki dengan menternak ikan air tawar di dalam gelung simen.
Rahim Yusoff mencari rezeki dengan menternak ikan air tawar di dalam gelung simen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:36 PM