X
FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan agar segera mewujudkan lebih banyak jawatan tetap untuk pegawai perubatan dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Presidennya Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, penyelesaian isu sumber manusia dalam sektor penjagaan kesihatan kerajaan amat penting dalam perjuangan melawan penularan pandemik Covid-19 serta pandemik lain yang mungkin berlaku pada masa depan.

"Penularan pandemik ini jelas menunjukkan kita kekurangan tenaga kerja dengan ramai doktor berdepan peningkatan panggilan bertugas berbanding sebelum ini. Kekurangan doktor ini berlaku di peringkat pakar dan juga pegawai perubatan.

"Namun begitu, hanya sebilangan kecil pegawai perubatan berstatus kontrak ditawarkan ke jawatan tetap dalam perkhidmatan kerajaan dengan yang selebihnya pula berdepan ketidaktentuan tentang masa depan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berterima kasih kepada kerajaan yang mengakui akan keperluan menyuntik semangat sektor penjagaan kesihatan dalam menguruskan pandemik dengan mengumumkan peruntukan tambahan di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

MMA turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan langkah-langkah melindungi kesihatan kesemua petugas klinikal, termasuk memastikan pembekalan berterusan peralatan perlindungan diri (PPE) yang berkualiti tinggi.

Selain kesihatan fizikal, kementerian juga katanya, perlu melihat aspek psikologi dan kesihatan mental petugas perubatan.

Dari segi imbuhan kewangan, beliau berkata, MMA berpegang pada pendirian agar pemberian elaun kritikal doktor diteruskan sampai bila-bila tanpa semakan semula.

Persatuan itu turut meminta kerajaan memberi jaminan baki cuti tahunan yang tidak dapat dihabiskan oleh petugas kesihatan boleh dibawa ke depan dan digunakan selepas pandemik terkawal.

"Tahun lepas, ketika negara sedang bergelut mengekang penularan Covid-19, setiap jabatan kesihatan negeri mengeluarkan arahan pembekuan cuti tahunan petugas, menyebabkan mereka mempunyai baki cuti yang tidak boleh digunakan pada 2020, dan perkara sama dijangka berulang pada 2021," katanya.

Katanya, MMA sudah mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berjumpa bagi membincangkan isu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:52 PM