X
Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Mohd Yusni Ariffin
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kedah bakal menerima pelaburan baharu dalam bentuk pembangunan bagi projek [email protected] di Langkawi membabitkan nilai kasar RM40 bilion.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, berkata projek di bawah Widad Business Group (WBG) itu adalah bagi pembinaan komponen pelancongan antaranya hotel, rumah kediaman, kompleks komersial, hospital dan universiti.

Jelasnya, projek di kawasan laut berdekatan Padang Mat Sirat itu bakal meningkatkan imej pulau peranginan itu sebagai destinasi pelancongan selaras statusnya sebagai tapak global Geoparak Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kerajaan negeri hari ini, bersetuju menerima pelaburan sebuah syarikat tempatan iaitu WBG yang akan membangunkan kawasan seluas kira-kira 800 hektar dengan 90 peratus daripadanya adalah laut yang akan ditebus guna.

"WBG bakal melaksana projek berimpak tinggi bagi tempoh antara 15 hingga 20 tahun membabitkan pelaburan RM40 bilion," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, syarikat terbabit mempunyai pengalaman dalam pelbagai projek usahasama dan pelaburan dalam dan luar negara menyebabkan ia diyakini mampu membangunkan projek mega berkenaan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi WBG Tan Sri Ikmal Opat Abdullah atas pembangunan ini dan kita sentiasa mengalukan pelabur masuk ke negeri ini.

"Tanpa mengira apa sektor seperti pelancongan, perkilangan atau sukan, kerajaan negeri terima dengan tangan terbuka dan akan membantu memudahkan proses berkenaan," katanya.

Untuk rekod, WBG adalah syarikat persendirian Bumiputera dimiliki Ikmal Opat yang juga menjadi pemegang saham majoriti di dalam Widad Group Berhad dan Dataprep Holdings Berhad.

Syarikat terbabit turut terbabit dalam pengurusan fasiliti bersepadu, pembinaan, penyelenggaraan dan operasi, perkhidmatan elektrikal dan mekanikal, sistem automasi bangunan, pengurusan tenaga, pembangunan hartanah, pendidikan, perkhidmatan media dan teknologi maklumat, hospitaliti, akuakultur, minyak dan gas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:00 PM