GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seorang pemilik kedai emas tidak sedar bahawa taktik seorang penjenayah membeli barang kemas bernilai RM49,600 hanya melalui panggilan telefon sebenarnya hanya mahu menggunakan akaunnya bagi pemindahan wang.

Ia hanya disedarinya wanita berusia awal 20-an itu selepas dia dihubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung wang yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya itu.

Wang itu dimasukkan oleh mangsa jenayah penipuan di Johor ke dalam akaun miliknya di Kota Bharu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, Ahad lalu, pemilik kedai emas itu dihubungi suspek seorang lelaki yang menyatakan mahu membeli barang kemas bernilai RM49,600 dari kedainya tanpa melihat dahulu barang yang hendak dibelinya.

"Suspek meminta nombor akaun bank sebelum menyerahkannya dan tidak lama kemudian dia membuat semakan

akaun bank mendapati wang RM49,600 sudah pun dimasukkan oleh suspek pada hari yang sama.

"Pada tengah hari keesokannya, ketika mangsa berada di kedai emasnya di bandar Kota Bharu, dia didatangi seorang wanita mendakwa mewakili suspek hadir untuk mengambil barang kemas yang dibeli.

"Mangsa menyerahkan kepada wanita terbabit seutas rantai leher, beberapa utas rantai tangan dan beberapa keping

'gold bar' emas 999.9 dengan nilai berjumlah RM49,600," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, pada petang hari yang sama, pemilik kedai emas itu dihubungi oleh pihak polis Johor meminta mangsa memberi kerjasama membantu siasatan membabitkan wang RM49,600 yang dimasukkan oleh mangsa jenayah penipuan di Johor ke akaun banknya.

"Mangsa terus membuat laporan polis menafikan pembabitannya dengan kes penipuan di Johor dan merasakan sudah teraniaya dalam urusan jual beli emas berkenaan.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa di Johor pada 16 Januari lalu berminat dengan iklan jualan kenderaan di media sosial sebelum membuat dua transaksi bayaran iaitu RM2,400 pada hari yang sama ke akaun bank milik individu sebagai wang tempahan dan RM49,600 lagi keesokkan harinya ke akaun bank pemilik kedai emas di Kelantan.

"Mangsa di Johor membuat laporan polis pada 18 Januari selepas mengesyaki ditipu apabila suspek penjual tidak lagi dapat dihubungi dan kenderaan yang dibeli tidak diterimanya," katanya.

Ahmad Azizul berkata, siasatan polis mendapati nombor talian yang digunakan suspek juga pernah terbabit dengan satu kes penipuan e-dagang (e-commerce fraud) membabitkan jual beli kenderaan yang tidak wujud di Pahang pada Disember tahun lalu.

Menurutnya lagi kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 9:16 PM