FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Mamat


Melaka: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan bekerjasama dengan Polis Daerah Bengkalis, Indonesia berhubung penemuan mayat lelaki dipercayai seorang daripada dua nelayan Malaysia yang hilang ketika keluar menjaring ikan, sejak Rabu lalu.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya sering berhubung dengan pihak polis daerah berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung penemuan itu.

Beliau berkata, antara perkembangan terbaharu diterima adalah mayat itu sudah dihantar ke Rumah Sakit Dumai untuk urusan bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

"Pihak Polisi Republik Indonesia (POLRI) Daerah Bengkalis ketika dihubungi pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan memaklumkan, mayat mangsa sudah dihantar ke Rumah Sakit Dumai, Indonesia.

"Malah, Konsulat Muda Malaysia di Pekan Baru turut dimaklumkan mengenai penemuan mayat warganegara Malaysia itu dan kes diserahkan kepada pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Indonesia untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Selain polis, APMM turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia lain termasuk Badan SAR Nasional Indonesia dan Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA) untuk meneruskan pencarian mangsa kedua di perairan negara masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya yakin mayat ditemui itu adalah Ahmad Norizan Mohamad, seorang daripada dua nelayan terbabit, susulan kerjasama dengan Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru dan Pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Johor Bahru yang mengesahkan ia berkaitan dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan pihak penguat kuasa Melaka, baru-baru ini.

Katanya, ia dikuatkan lagi apabila POLRI memaklumkan mayat mangsa ditemui berpakaian lengkap berwarna merah dan berseluar pendek sama seperti kali terakhir dipakai mangsa sebelum dilaporkan hilang.

"Turut ditemui lesen memandu tertera nama Ahmad Norizan Mohamad dan beberapa barangan peribadi miliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 10:52 PM