X
SHAHRULZAMAN (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM100,000, berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada sebuah syarikat, tahun lepas. FOTO BERNAMA
SHAHRULZAMAN (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM100,000, berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada sebuah syarikat, tahun lepas. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang bekas pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada sebuah syarikat tahun lalu.

Tertuduh, Shahrulzaman Jaafar, 43, yang ketika kejadian adalah Ketua Penolong Setiausaha Kanan MOA mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang kini digantung kerja didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM70,000 daripada Hazrul Hisyam Hassan, 46.

Ia sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada syarikat KIIK Resources Sdn Bhd berjumlah RM37,478,572.55 di tepi jalan berdekatan Hospital Serdang pada 12 Mei 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM30,000 daripada individu sama di hadapan sebuah pasar mini di Taman D'Alpinia, Puchong pada 21 September 2020 sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender sama.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk dua pertuduhan berkenaan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Azizul Shariman Mat Yusoff bersetuju dengan tawaran berkenaan.

Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Januari untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 2:07 PM