GAMBAR kenangan Mohamad Nor Atho'ullah dan bapanya, Allahyarham Mohamad Kamil Ghazali (kiri). FOTO ihsan Nur Kamilatul Alifah Mohamad Kamil
GAMBAR kenangan Mohamad Nor Atho'ullah dan bapanya, Allahyarham Mohamad Kamil Ghazali (kiri). FOTO ihsan Nur Kamilatul Alifah Mohamad Kamil
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib menimpa Mohamad Nor Atho'ullah yang kehilangan bapanya, Mohamad Kamil Ghazali akibat jangkitan Covid-19 baru-baru ini, Bank Rakyat menerusi Surau Al-Barakah tampil menghulurkan sumbangan RM5,000 kepadanya.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku wakil Menteri Kesihatan.

Menurut Abdul Rani, pemberian sumbangan ikhlas itu bertujuan mengurangkan bebanan yang dirasai keluarga Mohamad Nor Atho'ullah, 11 .

"Ia juga diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan kehidupan harian," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Syed Abdul Aziz berkata, ibu Mohamad Nor Atho'ullah, Norazah Aziz dan suaminya sebelum ini menyara keluarga mereka dengan berniaga di stesen minyak sekitar Kajang dan Cyberjaya.

"Oleh itu, sumbangan ini diharap dapat membantu Norazah untuk menjalankan perniagaannya semula dan menambah pendapatan keluarga serta bergelar usahawan," katanya.

Ketika majlis penyerahan itu juga, bantuan bencana banjir sebanyak RM30,000 diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang mana sumbangan ini adalah sebahagian daripada peruntukan dana RM500,000 yang disediakan oleh Bank Rakyat untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas di seluruh negara.

Inisiatif itu bertepatan dengan saranan Datuk Seri Dr Wan Junaidi dalam menggerakkan semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDEC) untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan terus membantu golongan yang memerlukan termasuk komuniti yang terjejas akibat banjir yang melanda negara.

Sebelum ini, Bank Rakyat sudah mengagihkan sumbangan sebanyak RM120,000 kepada 4 negeri yang terjejas akibat banjir termasuk Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah, Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Video Mohamad Nor Atho'ullah yang tular di laman sosial baru-baru ini mendapat perhatian Bank Rakyat apabila memaparkan reaksi tenang kanak-kanak itu selepas menerima berita pemergian bapanya, Mohamad Kamil ketika sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang.

Mohamad Kamil yang juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang, dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum meninggal dunia.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 15 Januari lalu.

Manakala, Mohamad Nor Atho'ullah bersama ibunya serta lima adik-beradiknya yang dirawat di PKRC MAEPS sebelum ini sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 7:31 PM