Yusof Abu Hassan menyampaikan sumbangan kepada Novi.  FOTO/AMIR MAMAT
Yusof Abu Hassan menyampaikan sumbangan kepada Novi. FOTO/AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Melaka: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah keadaan empat beradik yang tinggal di Lorong Abu Bakar, Kampung Pulau Gadong, Klebang di sini yang hidup dalam kemiskinan sejak setahun lalu.

Lebih menyedihkan, tiga beradik yang masih bersekolah itu dijaga kakak sulung mereka, Novi Margareta Sutrisno, 30, tanpa sebarang sumber pendapatan bulanan selain mengharapkan bantuan jiran serta saudara terdekat.

Tiga beradik yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang, di sini iaitu Muhammad Zulfikar Daniel, 17; Muhammad Zulhaikal Eltrimichal, 16 dan Nurdiana Melisa Fitri, 13 juga terpaksa melupakan hasrat membeli kelengkapan sekolah kerana tiada wang malah adik bongsunya masih belum mendaftar di sekolah berkenaan.

Barangan keperluan harian juga hanya mengharapkan ihsan orang ramai, selain Novi Margaret terpaksa `tebal muka' meminjam wang daripada rakan.

Menceritakan keadaan kehidupan itu, Novi Margaret berkata, ia bermula selepas ibu mereka, Eli Kabar, 52, pulang ke Surabaya, Indonesia pada Ogos 2019 untuk merawat penyakit kanser yang dialaminya sebelum bapanya, Sutrisno Musa, 54 pula menyusul pada Januari tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun, ibunya meninggal dunia pada Oktober lalu manakala bapanya pula terkandas di negara seberang itu berikutan penularan wabak Covid-19.

"Suami yang bekerja sebagai buruh di Bestari Jaya, Selangor ada mengirimkan sedikit wang belanja, namun ia tidak mampu menampung keseluruhan perbelanjaan di rumah ini, mujur ada jiran berdekatan yang prihatin dan menghulurkan bantuan.

"Saya sedih apabila melihat adik yang masih bersekolah terpaksa melalui kesulitan ini dan ayah pula masih terkandas di Indonesia sehinggakan bayaran sewa rumah sebanyak RM200 sebulan tertunggak beberapa bulan," katanya yang turut menjaga dua anak berusia empat dan 10 tahun.

Bagi melunaskan hutang, Novi Margaret terpaksa menjual satu daripada dua motosikal miliknya pada harga RM1,800.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah berkenaan hanya berbaki RM100 untuk digunakan membeli barangan keperluan harian.

"Untuk kelengkapan persekolahan pula, saya terpaksa lupakan dahulu kerana tiada wang untuk membeli. Saya minta mereka gunakan saja pakaian lama yang boleh digunakan lagi," katanya.

Sementara itu, keluarga berkenaan mendapat perhatian Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar.

Pengerusi JPKK Klebang Besar Datuk Mohd Yusof Abu Hassan bersama Sidang kampung berkenaan, Hamzah Ibrahim mengunjungi keluarga berkenaan bagi menyampaikan sumbangan berupa kit makanan serta wang saku, selain pembiayaan bayaran sewa rumah RM200.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya berharap Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dapat mempercepatkan proses permohonan bantuan bulanan kepada keluarga berkenaan yang dipohon baru-baru ini.

"Kami simpati dengan nasib keluarga ini dan berharap pihak lain turut bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada mereka yang hidup serba kekurangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 11:21 PM