KAMARUDIN MOHD HUSSAIN
KAMARUDIN MOHD HUSSAIN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengecualian eksais dan cukai proses pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi langkah tepat kerajaan merupakan talian hayat meringankan beban dialami pemain industri pengangkutan awam.

Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berkata, pihaknya menyambut baik keprihatinan kerajaan memberikan pengecualian terbabit sehingga 31 Disember ini.

"Pengecualian ini meringankan lagi beban tempoh tujuh kepada hanya lima tahun yang mana ini satu peluang baik untuk golongan terjejas kerana apabila dunia dilanda Covid-19, sektor pelancongan dan pengangkutan awam terhenti.

"Contohnya pemandu teksi yang menamatkan perkhidmatan, kenderaan itu tergantung sama ada digunakan untuk persendirian atau dijual.

"Ada juga kenderaan teksi sudah sampai had usia tujuh tahun tetapi mereka tidak boleh tukar status teksi itu disebabkan terpaksa bayar duti eksais dan jualan yang agak tinggi. Jadi banyak kenderaan tersadai," katanya.

Katanya, inisiatif berkenaan meringankan beban dan dilema dihadapi golongan ini yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya ketika pandemik Covid-19.

"Pengecualian ini sangat baik kerana kita lihat ada program yang kerajaan memberi jaminan untuk pemandu teksi dan bas beli kenderaan baru.

"Perlu ada juga satu mekanisme yang lebih jelas bagaimana golongan ini dapat menerima bantuan dan inisiatif diumumkan kerana ramai ahli kita yang tidak tahu bagaimana hendak dapatkan pengecualian dan bantuan one-off itu sama ada secara automatik atau perlu isi borang," katanya.


Sementara itu, pakar ekonomi dan muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, golongan industri pengangkutan awam perlu mencari alternatif lain bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

"Bantuan one-off diberikan memang mengurangkan sedikit beban mereka tetapi hanya bersifat sementara kerana kita pun tidak tahu Covid-19 bila akan berakhir.

"Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus berlanjutan, golongan terjejas ini perlu fikirkan cara lain atau lebih kreatif menjana pendapatan lain buat sementara waktu.

"Jika tidak boleh mengambil penumpang lagi, mungkin mereka boleh cuba menawarkan khidmat menghantar atau membeli barangan kerana permintaan ini semakin tinggi terutama ketika PKP ini," katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu memikirkan mekanisme lain bagi membantu pemain industri pengangkutan awam yang terjejas dapat beroperasi dalam norma baharu.

"Pakej rangsangan ekonomi cuma bersifat sementara, jadi kena fikirkan satu cara lain untuk membolehkan golongan ini terus bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 11:58 AM