GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Hanya 15 pasangan pengantin boleh dinikahkan sehari di sesuatu Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Perak sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara itu diputuskan melalui arahan tatacara perlaksanaan Majlis Akad Nikah Norma Baharu di Perak sepanjang tempoh PKP versi 4.0 yang dikeluarkan pihaknya hari ini bagi menggantikan versi 3.0.

Katanya, menerusi versi terkini tatacara itu, bilangan individu yang dibenarkan menyertai majlis itu dihadkan kepada 10 orang.

Versi sebelum ini menetapkan bilangan rombongan pengantin mengikut keluasan tempat dan budi bicara.

"Sepuluh individu yang dibenarkan hadir ke majlis nikah PAID itu adalah seorang jurunikah, saksi (2), pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali pengantin perempuan, bapa pengantin lelaki, ibu pengantin lelaki, ibu pengantin perempuan, dan seorang jurugambar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Manakala, syarat lain adalah sama seperti versi 3.0 yang dikeluarkan sebelum ini termasuk tempoh pelaksanaan majlis tidak melebihi 30 minit selain hanya dilaksanakan di premis PAID.

Beliau berkata, antara syarat lain yang kekal sama seperti sebelumnya adalah Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah (PTAID) atau wakilnya yang diberi tanggungjawab mengawal selia majlis akad nikah berkenaan dikehendaki menyediakan satu bilik khas bagi menjalankan majlis terbabit.

"(Seperti sebelumnya), proses nyahkuman bilik itu dilakukan dari masa ke semasa selain PTAID diberi tanggungjawab memastikan langkah keselamatan yang ditetapkan Kementerian Keselamatan Malaysia dari masa ke semasa dipatuhi oleh setiap pihak.

"Majlis berkenaan hendaklah dibatalkan jika tatacara ini tidak dipatuhi mahupun arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Negeri Perak (KPNCR)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 1:28 PM