ROSLEE (tengah) menunjukkan risalah dan poster menggunakan loghat Terengganu yang diedarkan kepada orang ramai. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
ROSLEE (tengah) menunjukkan risalah dan poster menggunakan loghat Terengganu yang diedarkan kepada orang ramai. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: "Beringatlah Awang wehh!!! kompaun RM1,000,". Itu kata-kata peringatan dalam poster dan risalah yang diedarkan polis Terengganu dalam usaha memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya mengambil pendekatan mengedarkan poster dan risalah menggunakan dialek negeri yang lebih santai di setiap sekatan jalan raya (SJR) dan tempat tumpuan awam selain ditampal di kedai-kedai makan terpilih.

Katanya, pihaknya menggunakan pendekatan psikologi pada PKP 2.0 bagi menyedarkan masyarakat kepentingan mematuhi SOP ditetapkan.

"Bagi menarik perhatian orang ramai, kami mengambil inisiatif menyediakan poster dan risalah yang menggunakan bahasa santai atau dialek Terengganu.

"Kalau kita guna bahasa yang formal, ia kurang mendapat perhatian orang ramai menyebabkan kita ambil pendekatan sebegini," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini.

Dalam pada itu, Roslee berkata, seramai 17 pegawai dan anggota polis Terengganu termasuk ahli keluarga mereka dikuarantin selepas dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif Covid-19.

Katanya, kesemua mereka menjalani kuarantin di rumah dan pusat kuarantin disediakan dalam tempoh 1 hingga 20 Januari lalu.

Mengulas mengenai permohonan merentas negeri dan daerah, Roslee berkata, pihaknya mengambil keputusan memberi kuasa kepada anggota yang bertugas di kaunter pertanyaan di balai polis untuk membuat keputusan sama ada meluluskan permohonan atau sebaliknya selepas mempertimbangkan alasan diberi.

Katanya, langkah itu diambil bagi memudahkan urusan orang ramai yang ingin memohon kebenaran rentas negeri atau daerah.

"Jika sebelum ini, hanya Ketua Polis di daerah berkenaan dan Ketua Balai di balai yang dimohon sahaja layak membuat keputusan meluluskan permohonan rentas negeri atau daerah.

"Bagaimanapun, kita beri kuasa kepada anggota yang bertugas di kaunter pertanyaan tanpa mengira pangkat untuk meluluskan atau sebaliknya permohonan yang dibuat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 2:08 PM